Senarai Semak: 9 Perkara Perlu Tahu Sebelum Mulakan Copywriting
Untuk artikel kali ini kami kongsikan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan sesebuah projek penulisan copywriting. Ada 9 senarai semak yang perlu anda fikir dan dapatkan jawapan terlebih dahulu sebelum menulis.
Copywriter yang baik akan mengambil kira setiap ‘inci’ info yang ada sebelum memulakan projek penulisan.
#1 Konteks Kempen
Dapatkan penjelasan tentang kempen yang ingin dijalankan. Apakah gambaran besar kempen tersebut. Maklumat ini sangat penting untuk menghasilkan set copywriting yang berkesinambungan antara satu sama lain atau tidak bercanggah.
Sebagai contoh, sekiranya anda telah diupah untuk menulis sales atau landing page, jangan terlepas pandang copywriting lain yang turut dibaca audience sebelum sampai ke landing page yang akan dihasilkan seperti emel, iklan Facebook, video atau sebagainya.
Dengan cara ini, anda akan lebih memahami apa yang dilalui pelanggan sebelum tiba ke landing page yang dihasilkan.
#2 Profil Avatar Pelanggan
Jangan terkejut, rupanya masih banyak lagi perniagaan yang tak betul-betul kenal siapa sebenarnya sasaran mereka.
Avatar bukan sekadar usia, jantina atau lokasi, tetapi juga personaliti, matlamat audience, apa yang mereka takutkan, cabaran yang dilalui, minat dan lain-lain, cukup mendalam.
#3 Kredibiliti/Kelayakan
Jika produk yang dijual adalah servis professional, adakah klien memiliki kelayakan akademik yang berkaitan? Sekiranya klien memiliki kepakaran dalam bidang mereka, apakah buktinya? Sekiranya hasil kerja mereka diketahui ramai, pernahkah ia mendapat liputan daripada mana-mana media?
Dengan adanya maklumat ini dalam sesebuah copywriting, dapat membantu meningkatkan conversion.
#4 Unique Selling Point (USP)
Berkemungkinan besar, produk atau servis yang dijual bukanlah yang seumpamanya dalam pasaran. Jadi kenapa prospek perlu membeli daripada klien anda dan bukannya daripada orang lain?
Untuk menyelesaikan isu ini, penting untuk seseorang copywriter memahami jenama tersebut, membuat kajian pasaran dan mencadangkan idea bagaimana produk atau servis patut diketengahkan dalam sesebuah kempen. Tonjolkan sesuatu yang dapat membezakan atau memberikan keistimewaan kepada servis atau produk klien.
Dapatkan maklumat tentang ‘nilai’ produk. Salah satu cara untuk mengetahui nilai sebenar produk adalah dengan mengambil tahu sekiranya produk turut didatangkan dengan ciri tambahan yang tidak terdapat pada produk lain atau ditawarkan dengan free gift? Adakah produk ini ditawarkan dalam bentuk pakej yang lebih murah berbanding apabila dibeli secara berasingan?
Banyak lagi aspek yang boleh dipertimbangkan berkaitan dengan nilai produk, baca artikel ini untuk mengetahui 10 contoh nilai produk.
Dan banyak lagi! Ini adalah antara persoalan yang boleh ditanya untuk mengetahui nilai sebenar produk.
#5 Ciri Produk
Ini merupakan bahagian paling asas yang perlu difahamkan sebelum memulakan kerja penulisan.
Anda perlu tahu segalanya tentang produk tersebut.
Misalnya, dalam menghasilkan copywriting untuk sebuah aplikasi pembelajaran, fahamkan ciri-cirinya seperti subjek yang ditawarkan, jenis-jenis bantuan pelajaran yang disediakan dan sebagainya. Lebih banyak yang anda tahu, lebih mudah untuk anda tampil dengan idea copywriting menarik.
#6 Testimoni pelanggan
Jangan abaikan elemen ini dalam penulisan. Sebenarnya ramai orang yang tak nak buang masa membaca sales page dan terus skip kepada bahagian testimoni. Selepas membaca testimoni, pelanggan sama ada:
1- Mengabaikan produk atau servis tersebut.
2- Scroll ke bahagian atas untuk membaca sales page/copywriting dari awal.
Ya, testimoni merupakan salah satu bahagian yang banyak mempengaruhi keputusan prospek. Oleh itu, dapatkan testimoni daripada pelanggan.
Tips: Sekiranya sesuai dan menarik, testimoni ini juga boleh digunakan sebagai headline copywriting.
#7 Harga
Sudah semestinya harga akan menjadi persoalan besar bila membaca sesebuah iklan. Sebagai copywriter, anda perlu fahamkan apakah harga produk, pakej yang disediakan dan pelan pembayaran yang ada.
#8 Perincian Tawaran
Bahagian yang paling penting ialah maklumat terperinci berkenaan tawaran yang diberikan. Apa yang dimaksudkan adalah seperti jumlah diskaun yang diberikan, dan apakah teknik scarcity yang akan digunakan. Maklumat lain yang turut perlu dimasukkan ialah syarat untuk menerima diskaun, tarikh akhir tawaran, soalan lazim, polisi pemulangan, bonus tambahan lain dan sebagainya.
Sebaik anda telah merancang segala perincian mengenai tawaran yang ingin dimasukkan (dan telah disemak klien), tugas anda yang seterusnya sebagai seorang copywriter adalah untuk menghasilkan sebuah copywriting yang membuatkan tawaran kelihatan menarik.
#9 Maklumat penghantaran
Jangan lupa untuk memasukkan maklumat penting ini dalam sales page yang dihasilkan. Anda perlu jelaskan bagaimana, bila dan di mana produk atau servis akan dihantar atau disediakan. Maklumkan bila sesebuah kandungan dalam talian boleh diakses (cth: kelas online), berapa lama masa diperlukan untuk menerima produk yang ditempah dan sebagainya.
Jangan biarkan pelanggan tertanya-tanya atau ragu-ragu untuk mengambil langkah seterusnya. Anda mungkin boleh sediakan bahagian Soalan Lazim atau FAQ untuk menjawab semua persoalan.
Ingat, semua keraguan perlu cuba ditepis sebaik mungkin!
Diharapkan artikel ini memberi manfaat kepada semua pembaca.
Jangan lupa untuk follow dan like Facebook REKA Digital untuk menjadi orang terawal yang mendapat informasi terkini daripada kami.