Cara Cipta Nilai Tambah Produk dengan Teknik Online Marketing
Dalam tulisan yang lepas, kami ada kongsikan tentang salah faham berkaitan marketing dan apakah itu marketing yang sebenarnya. Belum baca lagi? Kalau belum, boleh baca di sini.
Dalam perkongsian itu, kami ada sebut yang marketing adalah cara/medium untuk menyampaikan nilai sesuatu produk atau servis kepada pelanggan.
Kita kena usaha untuk membezakan antara pelanggan yang membeli produk atau menggunakan servis kita kerana nilai yang ditawarkan, ataupun kerana potongan harga yang ditawarkan.
Jika pelanggan nak produk kita kerana nilai, kebiasaannya mereka adalah pelanggan yang tetap dan setia. Contohnya seperti produk keluaran Apple. Meskipun harganya mahal macam pergi haji balik hari, namun disebabkan nilai yang ditawarkan sangat dirasakan berharga dan bernilai oleh pelanggan itu sendiri, akhirnya pelanggan sanggup melaburkan duit untuk mendapatkan produk Apple.
Tetapi jika pelanggan nak produk kita kerana nilai promosi atau potongan harga yang ditawarkan, kebiasaannya mereka kurang setia pada jenama tersebut. Sebab bila jumpa produk yang lebih kurang sama dan lebih murah ditawarkan, mereka akan meninggalkan kita terkapai-kapai kesunyian.
Mungkin timbul soalan difikiran anda,
“Produk aku dah bernilai tinggi. Nilainya lebih mahal daripada harga. Tapi macam mana nak pastikan orang pun merasakan perkara yang sama?”
Inilah persoalan utama yang mesti dijawab, iaitu macam mana nak mencipta nilai produk kita dengan marketing?
Kita nak orang pun faham betapa bernilainya produk kita, bukan semata-mata kerana harga. Kita tak nak hanya kita seorang je faham nilainya. Nanti jadi syok sendiri saja.
Kami nak kongsikan 2 cara untuk mencipta nilai produk atau servis dengan marketing.
Cipta konten berkaitan produk
Cipta konten berkaitan produk. Dengan konten seperti perkongsian di blog, website, media sosial, email, dan sebagainya, sampaikan nilai yang berharga berkaitan produk kepada pelanggan. Tak semestinya dengan menjual secara terus. Boleh jadi, ia sekadar perkongsian biasa. Tetapi cukup perkongsian itu sedikit sebanyak menjawab sebahagian daripada persoalan ataupun masalah mereka. Dari situ, mereka akan merasakan produk atau servis kitalah menjadi kunci kepada permasalahan atau persoalan mereka.
Eksklusifkan Produk Anda
Eksklusifkan Produk. Buat pelanggan kita merasa eksklusif dan dihargai setelah mendapatkan produk anda, khususnya apabila mereka kali pertama mendapatkannya. Eksklusifkan ini boleh jadi dengan cara mengikat dengan kemas, kepilkan thank you card, bungkus dalam kotak yang cantik dan mewah, dan seumpamanya.
Tambahan pula, kebanyakkan pelanggan membeli sesuatu produk ataupun mendapatkan sesuatu servis bukan kerana logik dan rasional, atau dah dapat maklumat lengkap tentang produk ataupun dah buat kira-kira. Kebanyakan mereka beli kerana perasaan dan emosi semata-mata. Contohnya, ramai orang masuk Shopee pada 9.9, 10.10 atau 11.11 untuk membeli bukan sebab keperluan, tapi sebab emosi dan mengikut trend.
Inilah antara cara mencipta nilai pada produk atau servis anda. Anda dapat sesuatu daripada perkongsian ini? Kongsikan di ruangan komen.
Moga bermanfaat.